Wednesday, October 31, 2007

BELUM HABIS RAYA LAGI




Selasa dan Rabu ni sibuk sikit pasal ada marhaban lagi. Satu hari 4 buah rumah. Hari Selasa di rumah Kak Timah Abu di Pengkalan Rama, Kak Nyarus di Taman Rumpun Bahagia, Mariam di Bacang dan rumah Normadiah di Batu Berendam. Penat semacam dah lah pandu kereta dari setempat ke setempat, pukul gendang lagi, nyanyi lagi .. SU tak lah makan banyak sangat, tapi badan tu letih satu macam .... apa tanda itu?

Hari Rabu beraya lagi di rumah Mimah di Taman Bahagia, Kak Asmah di Taman Putra, Kak Tah di Bukit Baru Musai dan Kak Ton di Bukit Piatu. Seronok berjalan sama member-member, rasa meriah pulak. Kalau tak buat sistem Marhaban begini memang tak jalan rayalah kita pasal masing-masing sibuk dengan anak-cucu dan urusan masing-masing. SU nak ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama kepada Mariam kerana sabar jadi pengangkut alat-alat genderang. Syukran .. Alhamdu li Allah.

Monday, October 29, 2007

ALAHAI DIET

Hari ini tiada 'marhaban'. Pagi-pagi lagi SU dah pergi menepati temu-janji di Klinik Kesihatan Ayer Keroh untuk pemeriksaan berkala. SU ada masalah kolestrol dan darah tinggi semenjak dua menjak ni. Doktor bilang kena kurangkan garam, makanan berminyak dan hendaklah exercise selalu. Ni yang susah ni ... Terutamanya dalam bulan-bulan perayaan, di sana sini ada open house, cam mana nak jaga diet? Tentang exercise pulak, mula-mula tu rajin lah juga. Buat poco-poco, line dancing, Tai-chi atau berjalan kaki kat Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit. Alahai .. semangat tu lama kelamaan makin menurun .. will-power kuranglah kata orang putih. Dulu pun SU pernah jadi ahli Pusat Gymnasium sebuah Hotel terkenal di Melaka ni. Bayarnya beribu tapi dek kerana 'will power' tu kurang, kejap aje tahan, macam-macam alasan diberi. Alahai ...

Susah ke jaga diet ni?

Mak Aji Jidah cerita dia sikit tiada masalah dengan darah dia. Patutlah pun, Mak Aji cukup jaga makanan dia - sup sayur, ikan aje ( semua masak putih-putih kata Asiah anak Mak Aji Jidah, sekali-sekali adalah kicap) ayam dan apa jenis daging tak makan, telor pun tak makan. Boleh ke ikut stail Mak Aji?

Memanglah makanan mempengaruhi kesihatan kita. Macamlah menjaga pokok tanaman tu. Di rumah Kak Hjh. Ramlah Dahili, pokok-pokoknya hijau-hijau, segar dan gemuk-gemuk. Bunga kertasnya pun lebat segar bugar. Baja organik kata Kak Hjh. Ramlah dan sentiasa dijaga - bolehlah Kak Ramlah ada Bibik ....

Kasihan juga tenguk anak-anak sekarang ... suka sangat makan ayam dan makanan segera - nugget lah, ayam gorenglah lah, burger lah, padahal memang makanan tu mengandungi banyak lemak dan entah apa-apa lagi. Dengar cerita ayam-ayam musim perayaan semua di"injek" supaya cepat membesar untuk jualan. Apa yang di'injek' ye? SU pun kadang-kadang takut tenguk ayam yang dihidangkan tu ... dagingnya besar-besar! Kesannya pada anak-anak itu tak nampaklah sekarang , nanti dah membesar besok ... Alahai!

Asiah bilang kalau nak turunkan kolestrol amalkan mengambil resipi ini : 3 bahagian Flax seed, 2 bahagian Sunflower seed dan 1 bahagian Almond. Kisar bijiran ini, masa nak makan taburkan di atas makanan. Masukkan ke minuman pun boleh. Bahan-bahan tersebut boleh di dapati di kedai Makanan Organik di Taman Melaka Raya. Nak cuba try lah .. InsyaAllah ....

Sunday, October 28, 2007

PESTA MAKAN



Alahai .. tak habis-habis lagi pesta makan untuk kita orang. Alhamdullillah kita kat Malaysia ni buka mata je pagi-pagi perut masih rasa kenyang lagi. Macamana rasa agaknya mereka di negara-negara yang dhaif tu seperti Afghanistan, Ethiopia, Sudan dsbnya. Syukur kepada Tuhan kita di Malaysia.

Nak cerita tengahari tadi rombongan kami seramai 16 orang 'marhaban' raya lagi - yang ada Kak Asmah, Kak Wan, Mimah, Sharifah, CT Khadijah, Hjh. Maznah, Buang, Rabiah, seorang rakan dari Tanjong (tak tahu namanya), Hjh Fatimah Ahmad, Nora, Yam, Eton dan SU. Yang menunggu Zainoon dan Che Leha (2 beradik), rumah di Duyong - dekat benar dengan Perigi Hang Tuah. Ramai ahli lain tak dapat ikut serta kerana maklumlah hari Ahad - ada macam-macam hal .... orang kenduri kahwin lah, ada katering lah, anak-cucu balik lah ... alahai !

Baik sahaja selesai menyampaikan persembahan hadrah kami (bunyi macam baik juga walaupun penyanyi dan ahli kompang tak lengkap) , azan zohor pun berkumandang. Kami pun solatlah berjamaah. Dah tu SU baca doa makan, apa lagi kami pun jamu seleralah. Zainoon sediakan satu meja penuh makanan - nasi beriani, kurma kambing, ayam percik, pasembor, wadeh, dalca ... SU tak tahu nak menyebut nama-nama masakan yang lain-lain tu. Mestilah best - katerer lah katakan! Ada lagi hiburan tak dirancang - Amir, anak saudara Zainoon datang dengan anaknya Nadia dalam perjalanan ke MITC untuk buat persembahan. Nadia bintang kecil dari Melaka - suaranya lemak merdu kalah orang tua, baru darjah 4. Nenek-nenek yang ada ni pun pujuklah dia hiburkan sambil nenek-nenek ni makan.

Sudah sendawa syukur, konvoi kami pun bergerak ke rumah Kak Hjh. Maimunah di Permatang Pasir dalam hujan gerimis. Jam menunjukkan pukul 2.00 ptg. Kak Munah menjemput ramai kenalan-kenalan beliau selain kami. Majlis dimulakan dengan Ustaz Hj. Mustapha mengetuai kumpulan Wanitanya dalam Maulud DiBaii. Kumpulan kami pun turut serta. Yang datang lewat kumpulan Kak Ton dari Bukit Piatu, tapi dapatlah solawat bersama-sama. Bila Ustaz dah selesai, beliau pun meninggalkan kumpulan wanita ini, lalu kami pun menyampaikan 3 buah lagu hadrah. Ramailah kali ini bergema menyampaikan Solawat Badriyah, Assalamualikum Rabbani dan Nasyid Hari Raya. Inilah yang dikatakan silatulrahim ...

Dua buah rumah saja hari Ahad ini. Syukur Alhamdullillah ...

Saturday, October 27, 2007

HADRAH HARI RAYA



Kumpulan Hadrah sudah berumur 3 tahun tetapi ia jarang dipersembahkan. Bila ada dijemput ke majlis perkahwinan atau majlis kesyukuran, barulah kami buat persembahan. Jadi tak banyaklah latihan. Namun demikian bolehlah diterima.... Setiap kali persembahan, kami menerima sumbangan untuk Tabung Hadrah. Terima kasih kepada dermawan-dermawan.

Bulan Syawal ini kami buat 'marhaban' ke rumah-rumah ahli, satu hari sampai 4 buah rumah sehari, makan tengahari terus solat zohor berjemaah. Seronoknya bukan main lagi, dijamu pelbagai makanan yang lazat-lazat, bernyanyi dan bergendang bersama kawan-kawan. Tapi yang utamanya mengeratkan silaturahim antara ahli.

Pada hari Rabu 24/10/2007 kami ke rumah Hjh. Hapipah, Hjh. Zaleha, rumah SU dan Hjh. Jaithoon. Berkonvoi-konvoi bagi nak rak ... Hari Khamis, Jumaat dan Sabtu rehat, Ahad nanti ada jemputan lagi. InsyaAllah ..... Assalamualaikum.

Friday, October 26, 2007

MARHABAN SYAWAL




Seperti biasa dalam bulan Ramadhan, kami mengadakan Tadarrus Al-Quran dari 1 hingga 14 Syawal di kediaman Pengerusi Pn. Hjh. Rahimah. Alhamdulillah ... seramai 16 ahli telah menyertainya bersungguh-sungguh, tiada banyak masalah dalam bacaan, semua dah bagus bacaannya, seorang dua tu biasalah kan... Akhirnya pada 16 Ramadhan satu majlis Khatam Al-Quran telah diadakan diserikan dengan kehadiran YBhg. Puan Seri Datuk Hjh. Zabedah, Pengerusi LKPI Perhubungan Negeri Melaka dan YBhg. Tuan Imam Hj. Sharif bin Mohammad, imam dari Makkah yang telah bacakan doa khatam.


Nah sekarang bulan Syawal .... setelah diharapkan ahli-ahli telah menyelesaikan puasa enam masing-masing, mulalah merancang untuk bermarhaban Hari Raya mulai 10 Syawal. Ada juga yang belum selesai puasa enam, namun turut juga dalam acara mengeratkan silaturahim ini. Tarikh 22/10/2007 - Dimulakan dengan rumah Pn. Hjh.Rahimah di Taman Kenanga, Tengkera - kumpulan Hadrah mengalunkan 7 buah lagu, maklumlah kali pertama, Pengerusi minta dendangkan kesemua koleksi lagu raya yang telah disediakan oleh SU. Dah tu, solat zohor berjamaah, barulah menjamu selera ... makan tengahari. Syoknya ada nasi lemak lengkap dengan lauk pauknya, satay, lontong ... maklumlah rumah pakar masak memasak! Kemudian marhaban ke rumah Pn. Hjh. Hani Selan berdekatan, rumah Roha dan akhir sekali rumah Hjh. Siti Khadijah. Setiap kali kami menyanyikan lagu-lagu hadrah dan Hari Raya. Bergendang dan makan sakan ... Kasihanlah perutku ini ... Terima kasihlah kawan-kawan. Meriah sungguh. Lusa nak pergi ke rumah-rumah rakan-rakan lain pula. Alhamdulillah ...

SALAM PERKENALAN

Assalamualaikun ... Salam Perkenalan daripada kami, LKPI Melaka Tengah, Bandaraya Melaka Bersejarah ....