Saturday, November 24, 2007

HJH. RAMLAH DAHILI


Jumaat 23 lepas Asar ke Taman Kenanga rumah kak Hjh. Ramlah Dahili kerana baru keluar hospital menjalani satu pembedahan kecil. Alhamdullillah tiada masalah timbul. Kak Ramlah seperti biasa sangat ceria dan bercoloteh panjang. Kami dijamu dengan nasi lemak. Terima kasih Kak, semoga murah rezeki dan diberkati dengan kesihatan dan keceriaan.

Thursday, November 22, 2007

HJH. SALMAH AHMAD

Lepas Zohor Kak Hapipah, Kak Asmah dan SU ke rumah Kak Hjh. Salmah di Taman Kota Laksamana. Dua minggu dahulu Kak Salmah menjalani pembedahan (sakit puan) di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur. Baru ni balik Melaka, jadi AJK Melaka Tengah pun pergilah menziarah beliau. Turut sama kak Hjh. Fatimah Abu dan Hjh. Maimunah. Dan rami lagi datang kemudian. Alhamdullillah Kak Salmah beransur sihat dan tidak rasa gundah gelisah lagi ....

Wednesday, November 21, 2007

TETAMU DARI BENUT








Hari ini LKPI Melaka Tengah menerima satu bas tetamu dari Benut, Pontian, Johor. Rombongan dianjurkan oleh Persatuan Wanita UMNO Benut sebagai membalas lawatan kami ke tempat mereka bulan Februari lepas. Kami ke sana untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang agak teruk di tempat mereka.




Kami meraikan mereka di Rumah LKPI, Taman Desa Baru, untuk makan tengahari yang disediakan oleh AJK LKPI Melaka Tengah cara 'pot-luck'. Terima kasih kepada mereka yang menyumbang. Memang sedap masakan 'chef-chef' Melaka Tengah! Selain itu, Kumpulan Hadrah kami tidak ketinggalan membuat persembahan beberapa buah lagu bagi memeriahkan lagi majlis. Turut hadir YBhg. Puan Seri Datuk Hjh. Zabedah serta beberapa AJK LKPI Negeri Melaka.




Dalam acara ini jelas kelihatan sikap kerjasama, saling bantu-membantu antara Ahli Jawatankuasa yang hadir. Mereka datang awal-awal lagi untuk menyediakan tempat, menghidang makanan dan akhirnya mengemas kawasan menjadi bersih sediakala. (Makanan yang banyak pun habis bersih....) Alhamdullillah.

Friday, November 16, 2007

MAJLIS KHATAM AL-QURAN PENGANTIN




Pagi-pagi lagi Pasukan Hadrah LKPI Melaka Tengah berkumpul di hadapan Masjid Al-Adzim menunggu bas sewa untuk dibawa ke Kuala Lumpur - ke kediaman YBhg.Puan Seri Datuk Hjh. Zabedah, dijemput untuk membuat persembahan di majlis khatam Al-Quran meraikan perkahwinan anaknda beliau.

Terdapat 2 lagi kumpulan lain menunggu. Majlis dimulakan dengan bermunajad dan khatam al-Quran oleh bakal pengantin, Petty Diana. Di-ikuti dengan persembahan nasyid. Kumpulan Hadrah Melaka Tengah telah menyampaikan 6 buah lagu dengan memuaskan.

Dari Bangsar, kami ke Hospital Universiti bertujuan untuk menziarahi Pn.Hjh.Rogayah Abd. Majid. Tetapi niat tidak tercapai kerana kami tersalah hospital setelah hampir satu jam berpusing-pusing.... Hmm.. balik Melaka sajalah nampaknya.

Saturday, November 10, 2007

WALKATHON






Hari ini berlangsungnya WALKATHON yang sekian lama dirancang. Sepanjang lebih kurang 3 bulan yang lalu AJK sibuk mengedarkan kad-kad WALKATHON mengumpul sumbangan untuk Tabung Anak Yatim/Miskin dan Ibu-ibu Tunggal. Pelbagai rintangan telah dilalui dan akhirnya pada pagi-pagi hari Sabtu ini tibalah masa yang ditunggu-tunggu. AJK diarahkan oleh Pengerusi membawa 2 orang ibu tunggal setiap seorang juga mendapatkan sumbangan sebuah hamper. Mungkin oleh kerana masa yang kurang sesuai atau mungkin kerana pagi ini hujan, maka tidak ramai ibu tunggal yang dapat hadir. Namun demikian, AJK telah berjaya mengumpulkan banyak hamper sehingga memenuh 2 meja banquet yang panjang. Terima kasih kepada AJK yang telah berusaha bersunguh-sungguh.

Lebih kurang 50 orang peserta hadir. Semua peserta dihadiahkan sehelai T-shirt warna hijau pucuk pisang sumbangan daripada YBhg. Datuk Hj. Ghafar Bin Ibrahim, seorang ahli korporate yang terkenal di Melaka. Acara dimulakan dengan senaman pagi oleh SU. Sesudah itu semua yang hadir dijamu dengan minuman air kopi / teh panas serta 2 kueh. Setelah berehat sebentar, SU membaca doa mohon restu dan perlindungan daripada Allah supaya WALKATHON kali ini berjalan dengan lancar. peserta di bahagikan kepada 4 kumpulan - ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim dari KAYFAZ, umur 40 tahun ke atas dan 40 tahun ke bawah. YBhg. Puan Seri Datin Wira Hjh. Halijah melepaskan peserta-peserta. SU turut serta berjalan tetapi bertugas menjaga keselamatan peserta, juga mengambil gambar. SU akhir sekali sampai ke garisan penamat .... taklah terima hadiah. Tapi SU kagum dengan seorang warga emas, Pn. Rokiah Tambychik namanya, dengan berkain batik dengan susah payah berjalan, ingin juga menyertai peserta yang lain. malangnya hanya suku perjalanan sahaja, jadi SU pun arahkan beliau naik ambulan yang mengekori di belakang. Beliau dapat hadiah khas daripada SU kerana menyahut cabaran.

Sementara menunggu VVIP tiba, SU anjurkan tarian Poco-poco dan joget lambak. Seronok mereka menari di atas gelanggang badminton itu.... wanita melepaskan geram ... ae..wah.... Maka dengan penyampaian hadiah dan cenderamata serta bungkusan snek kepada peserta-peserta, maka berakhirlah WALKATHON. Syukur semua berjalan dengan baik .... Terima kasih kepada rakan-rakan AJK yang bertungkus lumus menjayakan WALKATHON ini dan yang menyediakan hamper-hamper. Juga kepada pihak Polis Tengkera, PBSM dan bapak-bapak Rukun Tetangga Taman Kenanga kerana membantu mengawal keselamatan dan kebajikan kami. Terima kasih daun keladi ...

MAJLIS KHENDURI KESYUKURAN

Pada petang Jumaat selepas solat Zohor, SU dan rakan-rakan ahli LKPI dijemput ke majlis khenduri kesyukuran kerana tuan rumah, Hjh. Rokiah Jalil, akan menjadi salah seorang tetamu Allah tahun ini menunaikan fardhu haji. Rumahnya di Taman Desa Baru. SU pergi dengan kak Hjh. Hapipah dan kak Hjh. Fatimah Abu. Sesampai di sana orang dah mula baca Al-Fatihah sebagai permulaan untuk acara Khatam Al-Quran berjamaah. Masing-masing telah diagihkan Juz-juz untuk dibaca. SU dapat membaca Juz 23 dan 27. (Hairannya kalau baca sendirian, susah nak habiskan 2 muka surat pun. Tapi dalam majlis seperti ini boleh pulak baca sampai 2 juz sekali duduk..... maknanya ... kalau kita mahu memang boleh ... )

Selesai semua membaca Juz masing-masing, guru kami Ustaz Hj. Abd. Rahim, membaca tahlil dan doa khatam Al-Quran, semoga diberkati segala usaha dan didoakan rakan kami, Puan Hjh. Rokiah Jalil akan selamat pergi dan balik dan mendapat haji yang mabrur. AMIN.

Thursday, November 8, 2007

TERIMA KASIH SEMUA


Nampaknya hari ini Khamis, 8 November bersamaan 27 Syawal, hari terakhir Kumpulan Hadrah LKPI Melaka Tengah membuat persembahan Marhaban Raya. Kak Wan Jamilah menjemput kami ke kediamannya di Ayer Keroh Heights. Ramai jugalah kenalan yang hadir rumah Kak Wan. Di rumah Kak Wan juga kami berlatih lagu-lagu baru untuk dipersembahkan minggu hadapan di majlis khas khatam Al-Quran Perkahwinan di Kuala Lumpur. Oleh itu kenalah berlatih bersungguh-sungguh maklumlah kena buat persembahan di 'luar negeri'. Tak mahulah malukan orang Melaka, kata Pengerusi, Hjh. Rahimah. O.K lah Kak ....

Jam 3.00 petang kami berangkat ke rumah Hjh. Sharifah Nor di Jalan Penghulu Abas, Bukit Baru, persembahan hadrah Syawal terakhir tahun ini. Kami menyampaikan 4 buah lagu dengan penuh semangat dan nostalgia.

Kepada semua yang telah sudi menjemput Kumpulan Hadrah kami ke rumah (24 kesemuanya) dan telah menyumbang ke Tabung Kebajikan kami, SU bagi pihak semua ahli Kumpulan Hadrah mengucapkan ribuan terima kasih, semoga anda dan keluarga diberkati Allah dan semoga ikatan ukhwah antara kita berterusan dan berkekalan. AMIN.

Kepada semua ahli Kumpulan Hadrah khasnya, syukran kerana telah bersabar dan memberi sokongan penuh kepada SU dan aktiviti yang dijalankan. Balasan bagi yang baik adalah kebaikan jua ....

Tuesday, November 6, 2007

SYAWAL ADA LAGI

Isnin, 5/11/2007 bersamaan 24 Syawal 1428 ada lagi jemputan untuk Kumpulan Hadrah. Kali ini di kawasan Tanjong dan Klebang Besar. Jam 12.30 tgh. dah tiba di rumah Rabiah di Kampong Pinang, Lereh, kemudian ke rumah Hjh. Fatimah Ahmad di Tanjong Kling, dah tu ke rumah Hjh. Khadijah juga di Tanjong. Akhir sekali dijemput ke rumah Puan Seri Datin Wira Hjh. Halijah di Klebang Besar. Pelbagai jenis makanan disediakan dan layanan yang cukup istimewa. Pihak kami ucapkan berbanyak terima kasihlah kepada anda semua yang telah sudi menjemput kami dan memberi sumbangan ke Tabung Hadrah. Semoga segala usaha anda di berkati dan di balas dengan berganda-ganda pahala. AMIN.



Pada kesempatan berkumpul ini, Pengerusi Pn. Hjh. Rahimah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kali Ke-4 di rumah Pn. Hjh. Fatimah Ahmad untuk membincangkan aktiviti penting hari Sabtu ini iaitu 'Walkathon' - kewangan, aturcara, petugas-petugas, jemputan dsbnya. Terima kasihlah kepada Tuan rumah kerana membenarkan kami mengadakan mesyuarat di tempat beliau. Orang lain makan, AJK adakan mesyuarat. Sabar pulak orang lain tu tunggu sehingga kita habis mesyuarat. Kerana selepas tu nak konvoi ke rumah-rumah lain pulak. Tiba rumah nak hampir jam 6.30 ptg. setelah menghantar Mariam, Kak Asmah dan Kak Wan balik. Alahai penat jugalah ....

Wednesday, October 31, 2007

BELUM HABIS RAYA LAGI




Selasa dan Rabu ni sibuk sikit pasal ada marhaban lagi. Satu hari 4 buah rumah. Hari Selasa di rumah Kak Timah Abu di Pengkalan Rama, Kak Nyarus di Taman Rumpun Bahagia, Mariam di Bacang dan rumah Normadiah di Batu Berendam. Penat semacam dah lah pandu kereta dari setempat ke setempat, pukul gendang lagi, nyanyi lagi .. SU tak lah makan banyak sangat, tapi badan tu letih satu macam .... apa tanda itu?

Hari Rabu beraya lagi di rumah Mimah di Taman Bahagia, Kak Asmah di Taman Putra, Kak Tah di Bukit Baru Musai dan Kak Ton di Bukit Piatu. Seronok berjalan sama member-member, rasa meriah pulak. Kalau tak buat sistem Marhaban begini memang tak jalan rayalah kita pasal masing-masing sibuk dengan anak-cucu dan urusan masing-masing. SU nak ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama kepada Mariam kerana sabar jadi pengangkut alat-alat genderang. Syukran .. Alhamdu li Allah.

Monday, October 29, 2007

ALAHAI DIET

Hari ini tiada 'marhaban'. Pagi-pagi lagi SU dah pergi menepati temu-janji di Klinik Kesihatan Ayer Keroh untuk pemeriksaan berkala. SU ada masalah kolestrol dan darah tinggi semenjak dua menjak ni. Doktor bilang kena kurangkan garam, makanan berminyak dan hendaklah exercise selalu. Ni yang susah ni ... Terutamanya dalam bulan-bulan perayaan, di sana sini ada open house, cam mana nak jaga diet? Tentang exercise pulak, mula-mula tu rajin lah juga. Buat poco-poco, line dancing, Tai-chi atau berjalan kaki kat Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit. Alahai .. semangat tu lama kelamaan makin menurun .. will-power kuranglah kata orang putih. Dulu pun SU pernah jadi ahli Pusat Gymnasium sebuah Hotel terkenal di Melaka ni. Bayarnya beribu tapi dek kerana 'will power' tu kurang, kejap aje tahan, macam-macam alasan diberi. Alahai ...

Susah ke jaga diet ni?

Mak Aji Jidah cerita dia sikit tiada masalah dengan darah dia. Patutlah pun, Mak Aji cukup jaga makanan dia - sup sayur, ikan aje ( semua masak putih-putih kata Asiah anak Mak Aji Jidah, sekali-sekali adalah kicap) ayam dan apa jenis daging tak makan, telor pun tak makan. Boleh ke ikut stail Mak Aji?

Memanglah makanan mempengaruhi kesihatan kita. Macamlah menjaga pokok tanaman tu. Di rumah Kak Hjh. Ramlah Dahili, pokok-pokoknya hijau-hijau, segar dan gemuk-gemuk. Bunga kertasnya pun lebat segar bugar. Baja organik kata Kak Hjh. Ramlah dan sentiasa dijaga - bolehlah Kak Ramlah ada Bibik ....

Kasihan juga tenguk anak-anak sekarang ... suka sangat makan ayam dan makanan segera - nugget lah, ayam gorenglah lah, burger lah, padahal memang makanan tu mengandungi banyak lemak dan entah apa-apa lagi. Dengar cerita ayam-ayam musim perayaan semua di"injek" supaya cepat membesar untuk jualan. Apa yang di'injek' ye? SU pun kadang-kadang takut tenguk ayam yang dihidangkan tu ... dagingnya besar-besar! Kesannya pada anak-anak itu tak nampaklah sekarang , nanti dah membesar besok ... Alahai!

Asiah bilang kalau nak turunkan kolestrol amalkan mengambil resipi ini : 3 bahagian Flax seed, 2 bahagian Sunflower seed dan 1 bahagian Almond. Kisar bijiran ini, masa nak makan taburkan di atas makanan. Masukkan ke minuman pun boleh. Bahan-bahan tersebut boleh di dapati di kedai Makanan Organik di Taman Melaka Raya. Nak cuba try lah .. InsyaAllah ....

Sunday, October 28, 2007

PESTA MAKAN



Alahai .. tak habis-habis lagi pesta makan untuk kita orang. Alhamdullillah kita kat Malaysia ni buka mata je pagi-pagi perut masih rasa kenyang lagi. Macamana rasa agaknya mereka di negara-negara yang dhaif tu seperti Afghanistan, Ethiopia, Sudan dsbnya. Syukur kepada Tuhan kita di Malaysia.

Nak cerita tengahari tadi rombongan kami seramai 16 orang 'marhaban' raya lagi - yang ada Kak Asmah, Kak Wan, Mimah, Sharifah, CT Khadijah, Hjh. Maznah, Buang, Rabiah, seorang rakan dari Tanjong (tak tahu namanya), Hjh Fatimah Ahmad, Nora, Yam, Eton dan SU. Yang menunggu Zainoon dan Che Leha (2 beradik), rumah di Duyong - dekat benar dengan Perigi Hang Tuah. Ramai ahli lain tak dapat ikut serta kerana maklumlah hari Ahad - ada macam-macam hal .... orang kenduri kahwin lah, ada katering lah, anak-cucu balik lah ... alahai !

Baik sahaja selesai menyampaikan persembahan hadrah kami (bunyi macam baik juga walaupun penyanyi dan ahli kompang tak lengkap) , azan zohor pun berkumandang. Kami pun solatlah berjamaah. Dah tu SU baca doa makan, apa lagi kami pun jamu seleralah. Zainoon sediakan satu meja penuh makanan - nasi beriani, kurma kambing, ayam percik, pasembor, wadeh, dalca ... SU tak tahu nak menyebut nama-nama masakan yang lain-lain tu. Mestilah best - katerer lah katakan! Ada lagi hiburan tak dirancang - Amir, anak saudara Zainoon datang dengan anaknya Nadia dalam perjalanan ke MITC untuk buat persembahan. Nadia bintang kecil dari Melaka - suaranya lemak merdu kalah orang tua, baru darjah 4. Nenek-nenek yang ada ni pun pujuklah dia hiburkan sambil nenek-nenek ni makan.

Sudah sendawa syukur, konvoi kami pun bergerak ke rumah Kak Hjh. Maimunah di Permatang Pasir dalam hujan gerimis. Jam menunjukkan pukul 2.00 ptg. Kak Munah menjemput ramai kenalan-kenalan beliau selain kami. Majlis dimulakan dengan Ustaz Hj. Mustapha mengetuai kumpulan Wanitanya dalam Maulud DiBaii. Kumpulan kami pun turut serta. Yang datang lewat kumpulan Kak Ton dari Bukit Piatu, tapi dapatlah solawat bersama-sama. Bila Ustaz dah selesai, beliau pun meninggalkan kumpulan wanita ini, lalu kami pun menyampaikan 3 buah lagu hadrah. Ramailah kali ini bergema menyampaikan Solawat Badriyah, Assalamualikum Rabbani dan Nasyid Hari Raya. Inilah yang dikatakan silatulrahim ...

Dua buah rumah saja hari Ahad ini. Syukur Alhamdullillah ...

Saturday, October 27, 2007

HADRAH HARI RAYA



Kumpulan Hadrah sudah berumur 3 tahun tetapi ia jarang dipersembahkan. Bila ada dijemput ke majlis perkahwinan atau majlis kesyukuran, barulah kami buat persembahan. Jadi tak banyaklah latihan. Namun demikian bolehlah diterima.... Setiap kali persembahan, kami menerima sumbangan untuk Tabung Hadrah. Terima kasih kepada dermawan-dermawan.

Bulan Syawal ini kami buat 'marhaban' ke rumah-rumah ahli, satu hari sampai 4 buah rumah sehari, makan tengahari terus solat zohor berjemaah. Seronoknya bukan main lagi, dijamu pelbagai makanan yang lazat-lazat, bernyanyi dan bergendang bersama kawan-kawan. Tapi yang utamanya mengeratkan silaturahim antara ahli.

Pada hari Rabu 24/10/2007 kami ke rumah Hjh. Hapipah, Hjh. Zaleha, rumah SU dan Hjh. Jaithoon. Berkonvoi-konvoi bagi nak rak ... Hari Khamis, Jumaat dan Sabtu rehat, Ahad nanti ada jemputan lagi. InsyaAllah ..... Assalamualaikum.

Friday, October 26, 2007

MARHABAN SYAWAL




Seperti biasa dalam bulan Ramadhan, kami mengadakan Tadarrus Al-Quran dari 1 hingga 14 Syawal di kediaman Pengerusi Pn. Hjh. Rahimah. Alhamdulillah ... seramai 16 ahli telah menyertainya bersungguh-sungguh, tiada banyak masalah dalam bacaan, semua dah bagus bacaannya, seorang dua tu biasalah kan... Akhirnya pada 16 Ramadhan satu majlis Khatam Al-Quran telah diadakan diserikan dengan kehadiran YBhg. Puan Seri Datuk Hjh. Zabedah, Pengerusi LKPI Perhubungan Negeri Melaka dan YBhg. Tuan Imam Hj. Sharif bin Mohammad, imam dari Makkah yang telah bacakan doa khatam.


Nah sekarang bulan Syawal .... setelah diharapkan ahli-ahli telah menyelesaikan puasa enam masing-masing, mulalah merancang untuk bermarhaban Hari Raya mulai 10 Syawal. Ada juga yang belum selesai puasa enam, namun turut juga dalam acara mengeratkan silaturahim ini. Tarikh 22/10/2007 - Dimulakan dengan rumah Pn. Hjh.Rahimah di Taman Kenanga, Tengkera - kumpulan Hadrah mengalunkan 7 buah lagu, maklumlah kali pertama, Pengerusi minta dendangkan kesemua koleksi lagu raya yang telah disediakan oleh SU. Dah tu, solat zohor berjamaah, barulah menjamu selera ... makan tengahari. Syoknya ada nasi lemak lengkap dengan lauk pauknya, satay, lontong ... maklumlah rumah pakar masak memasak! Kemudian marhaban ke rumah Pn. Hjh. Hani Selan berdekatan, rumah Roha dan akhir sekali rumah Hjh. Siti Khadijah. Setiap kali kami menyanyikan lagu-lagu hadrah dan Hari Raya. Bergendang dan makan sakan ... Kasihanlah perutku ini ... Terima kasihlah kawan-kawan. Meriah sungguh. Lusa nak pergi ke rumah-rumah rakan-rakan lain pula. Alhamdulillah ...

SALAM PERKENALAN

Assalamualaikun ... Salam Perkenalan daripada kami, LKPI Melaka Tengah, Bandaraya Melaka Bersejarah ....